Menghitung Hari…

5 05 2009

Setiap pagi apabila membuka mata kita melihat sinar mentari dengan penuh bercahaya. Betapa indahnya hidup ini jika setiap hari yang kita lalui dihiasi sinar. Pun begitu kadang-kadang bila hujan menitis maka kitapun rasa sedikit terguris. Hujan seakan merencatkan keriangan hari. Itulah lumrah kehidupan yang kita lalui setiap hari. Ada hari-hari gembira dan ada kalanya kita berduka.  Kita selalu menghitung hari dengan seribu persoalan yang tidak pasti. Apakah hari ini memberikan sinar atau sebaliknya. Ketidakpastian menjadikan hari-hari kita ada resah dan suram tetapi kita tetap laluinya dengan penuh ketabahan.

Aku masih di sini sahabatku, melalui hari-hari berliku dengan perasaan tidak menentu. Geram, resah dan bosan silih berganti mengganti rasa suka dan gembira. Pernah dalam benakku bila bisikan jahat membelengu untuk ku khabarkan kepada seluruh dunia tentang perilaku mereka yang menganiaya dan merosakkan masa depanku. Tetapi apabila berfikir secara positif aku biarkan sahaja pemikiran jahat itu berlalu. Jauh sekali untuk menyimpan dendam kesumat terhadap mereka yang layak ku gelar celaka. Biarlah kerana hari ini hari mereka dan mungkin hari esok masih ada untuk aku terus membilang dan menghitungnya.

Apapun dalam menghitung hari rupanya hampir setahun cafeku beroperasi. Alhamdulillah sokongan teman-teman dan keluarga banyak membantu biarpun pelbagai cabaran perlu diharungi. Thanks for all





Teman Sejati…

22 11 2008

Salam…

Dalam saat-saat sukar sebegini teringat pula dekat lagu `teman sejati…’ yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Raihan. Ada ketikanya sokongan daripada teman-teman amat bermakna dalam hidup kita apatah lagi bila musibah datang bertimpa-timpa. Teman-teman adalah tempat yang paling rapat untuk berkongsi rasa suka dan duka. Teman-temanlah tempat untuk mengadu rasa sayu yang terbuku di kalbu. Tapi awas…ada teman yang suka melihat kita derita maka mereka akan mengorek cerita untuk ditokok tambah menjadi berjela-jela. Ada teman suka melihat kita mengharung payah demi memuaskan rasa hati mereka. Kerana itulah kita perlu teman sejati…teman semasa sukar dan teman semasa susah. Kata orang susah dan senang sama-sama ditempuhi…

Apapun sokongan teman-teman ke d bagus cafe n cake house sentiasa dialu-alukan…datangla bersembang sambil menghirup segar aroma teh misai kucing tropicana keluaran HPA. Power bang….? Banyak isu nak digebangkan kerana rutin kita manusia mesti kata mengata dan tegur menegur. Dan 2008 pula makin merangkak ke penghujungnya. Tak lama lagi sinar 2009 pula bakal menjelma dengan iltizam dan semangat baru. Moga d bagus terus berdiri megah mengamit hadir teman-teman.

Adios…

cikgu d bagus





Bila 2 Pemimpin Bertemu…

20 11 2008

D Bagus dua tiga hari lepas menerima dua tamu istimewa. Keduanya bergelar YB dan mewakili Pembangkang di kawasan masing-masing. YB Ustaz Nasir (Ahli Parlimen Padang Terap) manakalan YB Dato’ Syed (ADUN Kuala Nerang). Mereka bertemu secara tidak sengaja dicelah-celah pelbagai isu yang melanda negara. Apapun, topik pertemuan hari itu lebih berkisar kepada soal Muflis Dato’ Syed yang ceritanya panas membahang di Kuala Nerang.

“YB tak patut siarkan dalam blog YB cerita saya…DS memulakan perbualan. Ini kesilapan teknikal aja..ceritanya bukan seperti digembar-gemburkan. Ustaz Nasir tersenyum…`Anapun tak tulis Dato Muflis…ana cuma tulis dalam tanda soal…Mungkinkah akan ada pilihanraya kecil di Kuala Nerang? Sekarang macamana kes Dato…Hahaha…Dato Syed ketawa kecil…semuanya sudah selesai…hutang dah dibayar…biasalah YB, saya orang meniaga mesti ada hutang…mana ada orang meniaga takde hutang…tanya cikgu…dia pun banyak hutang

Aku tersenyum…teringat lagu M Daud Kilau…hutang mintak hutang keliling pinggang…kemudian cerita muflis pun pelan-pelan hilang dalam bualan. Dan aku tinggalkan mereka berdua rancak berbincang dan berbahas pelbagai isu. Itulah realitinya d bagus cafe n cake house…parlimen kecil di Pekan Kuala Nerang…tempat pemimpin dan golongan bawahan bertemu dan berbincang sambil pekena teh dan kopi…jom pakat pi





Salam buat teman-teman…

8 11 2008

Teringat kata-kata Anwar semasa era refomasi sedang membara `Jika gentar melawan usah bicara soal perjuangan’…Teman-teman yang seangkatan menongkah arus serta sanggup berdepan risiko gas pemedih mata dalam setiap ceramah refomasi ketika itu kini membawa haluan masing-masing dan lebih senang dengan kerjaya mereka. Cikgu Badrul dah berjawatan besar di JPN manakala Cikgu Hamzah dan Cikgu Manaf kini menjadi Pensyarah Maktab. 10 tahun era itu berlalu dengan pelbagai cerita suka duka. Aku sendiri dah dua buah sekolah bertukar ganti. Ketika mendapat surat pertukaran ke SMK Naka pada Dec 2000 perasaan begitu berbelah bahagi. Terasa segala pengorbanan membantu SMKDSA dalam pelbagai dimensi tidak dihargai. Waktu itu, rasa amarah yang mengusai diri menjadikan aku begitu kecewa dengan pertukaran yang tidak diminta. Apapun sebagai guru Sejarah aku sentiasa belajar dari pengalaman dan perjalanan hidup yang ditempuhi. Seingat aku, apabila Nabi Muhamad SAW  berhijrah maka penghijrahan itu sentiasa memberi kemenangan moral kepada baginda. Hijrah membawa pengertian yang cukup luas kerana melalui penghijrahanlah kita akan membina kehidupan baru dengan lebih bermakna. Hijrah mendidik kita tentang erti perjuangan dan kemenangan. Pengalaman selama 7 tahun mendidik dan mengasuh pelajar di SMKDSA memang sukar untuk dilupakan. Pengetua datang silih berganti, bermula dengan Pak Rahim, kemudian Cikgu Shahidan (Kini Pengarah Pelajaran Kedah), Cikgu Bakar Rahman dan akhirnya Pak Wahab memberikan aku pengalaman-pengalaman berguna di bawah pentadbiran pengetua yang hebat-hebat belaka.

Apapun, kerjaya aku sebagai pendidik bermula di Kapit, sarawak. Daerah pedalaman yang banyak mengajar aku erti sebuah kehidupan sebagai anak rantau yang menabur jasa di bumi orang. Memudiki Sg Rajang buat kali pertama bersama teman-teman merupakan saat-saat indah yang sukar untuk dilupakan.  Apalagi setibanya disana disambut mesra oleh rakan-rakan semenanjung yang menunggu di jeti dengan senyuman kegembiraan. Ialah, putaran roda silih berganti maka yang baru datang membolehkan yang lama pergi. Teman, sukar untuk aku melupakan saat-saat itu kerana ianya mengajar aku erti sebuah persahabatan yang sukar untuk diterjemahkan. Muhaimin, Saufi, Yaakob, Iskandar, Abang Jaafar, Shahran, Subra, Mus, Jamil dan banyak lagi nama teman-teman yang tak mampu untuk aku sebut satu persatu. Kini rasanya semua teman-teman dah kembali untuk menabur bakti di kampung halaman masing-masing. Saufi, Is, Yaakob dan Muhaimin di Kelate, Jamil dah kembali ke Perak, Jaafar rasanya di Terangganu manakala Shahran, mus dan Senivasagam mengikut jejak aku kembali menabur bakti di Kedah…negeri tumpah darah kebanggaanku. Salam ingatan buat Cikgu Raden (Tauke Restoren di Pekan Kapit) serta buat semua teman-teman di SMK Kapit. Sesungguhnya, pengalaman setahun setengah bersama adalah saat paling manis dalam kerjayaku sebagai seorang pendidik. Menyusuri Sg Rajang dengan rakit-rakit kayu balak pasti mengamit jutaan rasa kehilangan pada kampung halaman yang ditinggalkan buat mendidik anak-anak di pedalaman Sarawak yang amat dahagakan ilmu pengetahuan. Tentunya sejarah itu sukar dihilangkan dalam kamus ingatan kerana kemesraan mereka menguntum sebak di dada saat akhir perpisahan.

Tanggal 1 Dec 2004 aku melaporkan diri di SMK Dato Syed Ahmad. Sekolah yang mengajar aku erti tulis baca. Sekolah yang mengajar aku menjadi manusia dewasa. Sekolah yang menterjemahkan hasrat ayah dan bondaku untuk menjadi manusia berguna. Segalanya bermula di situ. Aku membesar dalam serik parau suara guru-guru yang tak jemu-jemu mencurah ilmu. Teringat pada Cikgu Kalsom (Sekarang Datin) yang sentiasa senang menasihatiku dan pernah tertitis airmata dari kelopak matanya agar aku menjadi pelajar yang berjaya. Juga Cikgu Noor Mohamed manusia pintar yang bijak beristilah dan berfalsafah yang kini sudah bersara dengan beg plastik hitam sentiasa di sisi. Thank Cikgu kerana sudi menjamah kek persaraan yang aku hadiahkan di hari persaraanmu. Dan itulah kek sulung keluaran D Bagus Cafe n Cake House…bersambung





Selamat Hari Raya Aidil Fitri – Maaf Zahir dan Batin

18 09 2008

Salam Aidil Fitri

Dalam kesempatan ini saya ingin mengucapkan `Selamat Hari Raya aidil Fitri’ buat semua sahabat handai, rakan taulan, saudara mara dan teman-teman yang sentiasa bersama-sama memberi sokongan moral kepada d bagus cafe n cake house selama ini.  Sebagai menghargai sokongan kawan-kawan maka d bagus tetap beroperasi dalam bulan Ramadhon ini mulai jam 8 00 malam sampai la kawan-kawan habih bergebang. Kalau ikutkan rancangan awai memang malas nak buka tapi mengenangkan kawan-kawan takdak pot nak pekena minuman kegemaran`sang misai kucing’ kenala buka jugak. Apapun, sambutan tetap menggalakkan daripada kawan-kawan dan menu baru `Roti Arab’ dengan Kentang Goreng pula top. Ya la sambil dok bergebang tu mulut nak kena juga jamah, takkan pekena teh o misai kucing saja kot…sengkekla bisnes

Bagi regular customer yang mengidam sangat nak makan `Nasi Lemak Panas’ sabaq-sabaq la no. Insyaallah habis ja posa nanti kita pakat mai makan ramai-ramai. Bawak la kawan-kawan sekali. Untuk makluman teman-teman juga, bagi yang belum berkesempatan beli kuih raya tu mai la buat tempahan segera kalau lambat nanti kempunan pula. Terdapat 9 jenis kuih raya resepi d bagus dijual pada tahun ini dengan tawaran harga yang sungguh menarik. Walaupun harga barang dok naik tapi bila pakai tepung naik sendiri maka harga tetap macam biasa…berpatutan la kata orang.

Apapun, dalam kesempatan buat pertama kali di sini d bagus n all staf mengucapkan SELAMAT HARI RAYA aidil fitri…maaf la no

Selamat Hari Raya

Selamat Hari Raya

dengan ingatan tulus ikhlas

d bagus cafe n cake house





Setelah Lama Kehilangan…

3 05 2009

Lama juga tidak mengemaskini blog ini lantaran kesibukan yang membatas segala-galanya. Kita sentiasa sibuk, itu lumrahkan, dan kesibukan itu pastinya merimaskan. Kadang-kadang terasa jengkel juga kerana dalam melalui kehidupan seharian benarkah kita betul-betul sibuk atau sekadar menyibukkan diri…entahlah. Hidup di pekan kecil ini kesibukan bukan kerana masing-masing sibuk menguruskan diri tetapi masing-masing sibuk menguruskan hal orang lain. Tetapi yang menariknya, kedai kopi menjadi medan untuk bertukar pendapat dan mengatur pelbagai strategi khususnya dalam menguruskan hal peribadi orang lain. Itulah rutin manusia yang tidak pernah lupa dan leka…





Salam Mesra

3 05 2009

Kesibukan membataskan perhubungan tetapi jika kita pandai mengatur masa sibuk dengan sebaiknya maka tali silatur itu pasti kekal selamanya…
D bagus merakamkan ucapan `Selamat Hari Pekerja’ buat semua kenalan dan pengunjung…moga cuti ini dapat dimanfaatkan untuk mengisi masa-masa sibuk dengan rehat dan santai secukupnya sambil minum-minum di d bagus…mai la





Kita Tunggu 15 Dec…

2 12 2008

Salam Pertemuan

Apa yang dinanti-nantikan pada 15 Dec nanti…raya haji dah lepas dan bagi kakitangan kerajaan gaji belum masuk…harga sekerap pulak tengah menjunam seperti buah nyiur buruk luruh…tension beb..

Meniaga dalam saat-saat begini dan dalam keadaan ekonomi global yang kian tenat tentunya memenatkan…apapun buat teman-teman yang sering berkunjung dan memberi sokongan padu hanya ucapan terimakasih dun keladi…kerap-kerap la mai sini.

Berita paling gempaq 15 hb nanti tentu pakat dok cari-cari…YES

nak tau…D Bagus akan mula beroperasi mula jam 8 pagi…jadi yang dok pusing-pusing cari tempat nak menyerok (longat orang Kedah) pakat-pakat la singgah sini…

Sesekali kita kena Roti Arab dengan kuah ayam atau sardin boleh terangkat beb…takpun menu baru Roti Jala siap menanti…

Dan jangan lupa…Nasi Lemak Panas dengan Ayam Goreng…WOW

Ada lagi menu baru kami….SUP GEAR BOX…Jom la pakat pi…





selingkar kisah…(sebuah catatan kenangan)

11 11 2008

Catatan Sebuah Perjalanan…

Hari ini 11 November 2008, bulan yang pastinya mencatat kenangan paling tragis dalam kehidupanku. Pemergian ayahanda tercinta tanggal 11 November 1994 menjadi memori duka yang sentiasa mengimbau rasa sesal yang tak sudah. Namun, itulah realiti akhir perjalanan sebuah kehidupan. Dah 14 tahun berlalu pemergian beliau mengadap Ilahi dan yang tinggal kini hanyalah kisah-kisah silam yang sukar dilupai.

Bapa…pemergianmu bukan untuk ditangisi juga bukan untuk diratapi kerana kau pergi mengadap Ilahi Tuhan Maha Suci.

Bapa…Masih dalam ingatan di saat akhir pemergianmu meninggalkan kami dengan semangat berani. Kau tabah menempuh susah, cekal membanting tulang dari urat-urat tuamu demi membesarkan kami agar menjadi insan berguna.

Bapa…kau lambang ilham perjuangan kami kerana kudratmu yang tidak pernah kenal erti jemu…mengasuh dan mendidik anak-anakmu…

Jika hari ini dapat kita ketemu kembali, akan kami kecup kedut keningmu sambil melafaz kata-kata tulus ikhlas…terima kasih bapa..