Surat Tunjuk Sebab…Jawab Beb Jangan Tak Jawab

MUHAMAD NOR RASHIDI BIN MAHAMOD

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN KUALA NERANG

06300 KUALA NERANG

KEDAH DARUL AMAN

 

Ruj. Tuan        :

Tarikh              :

 

Tuan Pengetua,

SMK Kuala Nerang,

06300 Kuala Nerang,

Kedah Darul Aman.

 

Tuan,

 

KETIDAKHADIRAN KURSUS DALAMAN

 

Adalah dengan hormatnya surat tuan bil 4 dalam SMKKN bertarikh dirujuk.

 

2.         Sehubungan dengan itu izinkan saya untuk memperjelas sebab-sebab ketidakhadiran bagi mengikuti Kursus Dalaman pada 2 Ogos 2008 dan 8 November 2008.

 

3.         Untuk makluman dan perhatian pihak tuan, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6/2005 menjelaskan bahawa setiap Ketua Jabatan mestilah memastikan anggota masing-masing di semua peringkat mengikuti kursus minima selama 7 hari setahun. Ini diperjelaskan lagi dengan ungkapan kata-kata Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia ketika merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan PPD 2008 di Kuala Lumpur iaitu `ketetapan dasar pendidikan bahawa setiap guru perlu mendapat latihan tujuh hari setahun’.

 

4.         Sebagai pendidik, menyedari dan menjunjung tinggi dasar pendidikan tersebut maka adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menghadiri kursus yang telah ditetapkan samada anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah mahupun dari pihak sekolah sendiri asalkan minimanya 7 hari setahun.

 

5.         Dalam usaha peningkatan profesionalisme sekaligus memenuhi ketetapan mengikuti kursus dan latihan 7 hari setahun maka saya merasakan kehadiran ke Kursus Penilaian Tahap Kecekapan DG44 (P&P) siri 2/2008 anjuran Lembaga Penilaian Kompetensi KPM bertarikh 16 hingga 23 Februari 2008 selama 8 hari bertempat di Hotel Naza Pulau Pinang adalah berkaitan dan memenuhi ketetapan yang menjadi dasar pendidikan. Malah dalam peningkatan profesioanlisme sebagai jurulatih sukan saya telah mengikuti Kursus Teknikal dan Kepegawaian Renang pada 14 hingga 22 September 2008 selama 8 hari bertempat di Kompleks Renang Shah Alam Selangor. Persoalannya, apakah 16 hari berkursus masih belum memenuhi ketetapan seperti yang dinyatakan oleh Ketua Pengarah Pelajaran dan Pekeliling Perkhidmatan Bil 6/2005

 

6.         Pun begitu, sekiranya pihak tuan tidak mengiktiraf kursus yang telah saya hadiri ini maka adalah menjadi tanggungjawap pihak tuan untuk menjelaskan kepada KPM bahawa hanya kursus dalaman anjuran sekolah sahaja yang dikira memenuhi ketetapan dasar pendidikan tersebut. Ini bagi memberi keadilan kepada saya yang telah berkorban masa dan tenaga mengikuti kursus-kursus anjuran KPM tersebut tetapi akhirnya diarah untuk menjawab surat tunjuk sebab kerana gagal hadir kursus di peringkat sekolah.

 

7.         Apapun, sebagai pendidik saya tetap akur dengan arahan untuk hadir ke kursus dalaman peringkat sekolah kecuali pada dua tarikh yang disebut dalam surat tuan iaitu 2 Ogos dan 8 November yang lalu. Itupun disebabkan oleh rasa tanggungjawab untuk membantu sekolah mengatasi keperluan menghadiri kursus dalaman tersebut.

 

8.         Untuk makluman tuan, pada 2 Ogos 2008 saya berada di Hotel Holiday Villa Alor Setar bersama dengan Dato’ Yahya (Setiausaha Politik Tan Sri Muhamad b Md Taib), Dato’ Syed Sobri b Syed Hasim (ADUN Kuala Nerang) dan En. Ahmad Kamel b Abd Munin (Pengerusi PIBG SMK Kuala nerang) bagi memperhalusi butiran gantian gantirugi pembatalan Majlis Jamuan Makan Malam Perdana yang sepatutnya diadakan pada 1 Ogos 2008. Manakala pada 8 November 2008 saya  bersama Pengerusi PIBG terpaksa ke Kuala Lumpur untuk urusan yang sama. Mungkin tuan terlupa kerana pada ketika saya bersama Pengerusi PIBG berusaha keras bagi merealisasikan hasrat untuk menganjurkan program bagi mengumpul dana  pembelian van sekolah itu, tuan sedang bercuti di Padang, Indonesia. Saya memilih untuk tidak hadir berkursus kerana merasakan bahawa keperluan meneruskan usaha mengumpul dana untuk van sekolah lebih mendesak kerana ianya melibatkan janji dan amanah terhadap pelajar dan sekolah.

 

9.         Sesungguhnya, usaha dan kesungguhan untuk menjayakan agenda pendidikan negara memerlukan kekuatan diri setiap pendidik, semangat juang , komitmen, dan kerjasama semua pihak meliputi pihak pengurusan , guru-guru, ibu bapa dan pelajar seluruhnya. Kejayaan sesebuah organisasi pendidikan pula didorong oleh pupukan kerjasama dan permuafakatan yang utuh di kalangan seluruh warganya. Dalam proses ini, pengetua sebagai pemimpin di sekolah mestilah sentiasa menunjukkan ciri-ciri pengetua berkesan yang mampu menjana muafakat di kalangan seluruh warga sekolah. Sekiranya pengetua memilih untuk menanam benih-benih kebencian, memilih untuk menghukum dan menunjukkan kuasa secara keterlaluan maka yang akan lahir kelak adalah sikap permusuhan yang berpanjangan dan dendam yang tidak pernah ada titik noktahnya.

10.       Sebagai pendidik dan insan kerdil saya memohon maaf kiranya jawapan surat ini terlalu panjang tetapi percayalah bahawa ianya lahir dari hati yang tulus dan ikhlas. Setiap orang mampu untuk mencari dan mencipta sebab dan alasan tetapi biarlah ianya menjadikan kita lebih bijak dan profesional setaraf dengan akal dan pemikiran yang dianugerahkan Allah SWT. Akhirkata meminjam ungkapan Saidina Ali kepada Gabenor Mesir ` Pastikan kamu berlaku adil kepada Allah, berlaku adil kepada manusia…jika kamu tidak melakukannya kamu telah melakukan kesalahan dan barang siapa yang menzalimi hamba Allah, dia bukan sahaja bermusuhan dengan manusia, bahkan bermusuhan dengan Allah…Sebaik-baik usaha sewaktu manjalankan urusan kamu ialah mengikut jalan pertengahan dalam kebenaran, paling sempurna dalam keadilan dan paling menyeluruh dalam mencapai kesejahteraan’.

Sekian, terimakasih.

Saya yang benar,

 

(MUHAMAD NOR RASHIDI BIN MAHAMOD)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: